Friday, March 9, 2007

Kemalangan Jalanraya :Kelemahan kita ?


Kemalangan jalan raya tiada penyudah?

En. Norhisham Jantan
Melaka

Saudara Pengarang,

9 billion merupakan nilai yang sangat tinggi yang terpaksa ditanggung syarikat insurans dan kerajaan disebabkan kes kemalangan jalanraya seperti yang dilaporkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini. Memang tidak dapat di nafikan angka kematian di Malaysia di sebabkan kes kemalangan jalan raya amat tinggi terutamanya menjelang musim perayaan. Pelbagai aktiviti, iklan, peringatan dan pemantuan pihak polis trafik telah dilakukan untuk menangani masalah ini. Ianya termasuklah hasrat Menteri Pengangkutan untuk memperuntukkkan perbelanjaan bagi mempertingkatkan lagi kempen keselamatan jalanraya di kalangan pelajar sekolah pada tahun hadapan. Bagi saya ianya bukanlah satu perkara yang baru kerana sebelum ini telah banyak kempen-kempen sebegitu dianjurkan namun masalah kemalangan jalanraya tetap meningkat.

Adakah salah kempen tersebut atau salah penganjurnya? Makin banyak kempen, makin banyak pula kemalangan dilaporkan. Bilakah ianya akan selesai?

Walaupun pelbagai iklan dipaparkan, kempen di perhebatkan, pemantauan pihak berkuasa diperketatkan, masalah kemalangan jalan raya nampaknya tidak akan selesai selagi kementerian pengangkutan dan kementerian kerja raya tidak mengkaji sebaik mungkin prasarana sistem pengangkutan sedia ada di Malaysia. Bagi saya tiada gunanya memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk berkempen dan menyedarkan orang ramai jika masih ada lagi jalan-jalan rosak yang tidak di perbaiki, tanda amaran lalu lintas yang tidak mencukupi, kekurangan lampu isyarat di simpang-simpang dan pelbagai lagi keperluan yang perlu dipertimbangkan. Saban hari berita yang di laporkan oleh TV membuktikan masih banyak lagi aduan rakyat dan pengguna mengenai prasana jalan raya tidak di ambil berat oleh menteri pengangkutan. Banyak kemalangan berlaku disebabkan bukan salah pengguna tetapi disebabkan masih terdapat kelemahan dalam prasarana seperti jalan berlubang, tiada lampu isyarat, kurang tanda amaran, tiada lampu jalan dan lain-lain. Sewajarnya kementerian bersikap proaktif dan bukannya menunggu aduan untuk mengambil tindakan.

Apa yang menyedihkan apabila timbul sahaja kes besar yang melibatkan kehilangan nyawa, barulah mereka beria-ia hendak memasang lampu isyarat, memperbaiki jalan, membuat tanda amaran dan sebagainya. Itupun bila telah ramai insan yang tidak berdosa menjadi mangsa, barulah mereka peka dan turun padang. Alasan yang sering di beri ialah tiadanya peruntukan. Hairan...memang menghairankan kerana semua rakyat yang menggunakan kenderaan membayar cukai jalan saban tahun. Jumlah rakyat yang memiliki kenderaan di Malaysia meningkat setiap tahun tetapi mengapa wang ini tidak di gunakan oleh kementerian sebaik yang mungkin untuk mengadakan satu prasarana jalanraya yang selamat kepada semua rakyat. Murah sangatkah nyawa rakyat di Malaysia ini sehingga kementerian hanya akan berbuat sesuatu apabila berita di siarkan di TV? Ke manakah lagi harus rakyat mengadu jika bukan kepada pemimpin yang mereka lantik yang sewajarnya bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat? Selagi pihak kementerian tidak prihatin dengan suara-suara rakyat ini, maka selagi itulah kes kemalangan akan terus meningkat.

No comments: