Friday, March 9, 2007
Punca Kemalangan Jalanraya
Kaji dulu punca kemalangan sebelum bertindak
Norhisham Jantan
09 Mac 2007
Pelbagai cadangan dibuat untuk mengurangkan kemelangan jalanraya termasuk menarik lesen serta merta dan pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun untuk memandu kenderaan awam.
Bagaimanapun sebelum kita pergi lebih jauh ada baiknya dikenalpasti punca sebenar kemalangan jalanraya di negara ini.
Punca kemalangan jalanraya ini hendaklah diletakkan keutamaan mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika statistik menunjukkan punca kemalangan jalanraya pada musim perayaan adalah akibat pemandu yang mabuk adalah yang tertinggi maka penyelesaian kepada masalah pemandu yang mabuk harus dicari.
Pemandu yang menjalani latihan 100 jam sekali pun dan mempunyai 20 tahun pengalaman sekiranya dia mabuk akan mendatangkan risiko kepada diri sendiri dan nyawa orang lain.
Sekiranya statistik di sesuatu tempat menunjukkan bahawa keadaan jalanraya yang tidak sempurna adalah punca kemalangan tertinggi di tempat tersebut maka pendekatan kejuruteraan haruslah diambil untuk memperbaiki keadaan jalan tersebut.
Begitulah juga jika statistik di kawasan lain pula menunjukkan bahawa pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu adalah penyebab tertinggi kes kemalangan di tempat tersebut maka satu tindakan yang komprehensif haruslah diambil untuk mempastikan tiada pemandu yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu.
Menambahkan lagi masa latihan memandu, akan menambahkan kos serta masa. Ia akan menjauhkan lagi mereka yang tiada lesen memandu untuk mengambil lesen memandu. Begitu juga menggantung lesen memandu mereka yang kerap melakukan kesalahan, tidak akan menghalang mereka ini daripada terus memandu tanpa lesen.
Mungkin juga ada hasil kajian menunjukkan pemandu di Malaysia menghadapi masalah jiwa di mana mereka ini sentiasa ingin memandu dalam keadaan terburu-buru, tidak suka dicabar di jalanraya dan sentiasa ingin cepat sampai.
Jika ini puncanya, maka penyelesaian secara saikologi atau batiniah pula yang perlu diambil.
Fikir-fikirkanlah syor ini.
Keselamatan jalanraya perlu tindakan menyeluruh dan kesungguhan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment